Daripada Saiyidina ‘Umar juga, r.a beliau berkata:
"Ketika kami sedang duduk di sisi Rasulullah SAW pada suatu hari, tiba-tiba muncul di hadapan kami seorang lelaki yang memakai pakaian yang sangat putih, berambut sangat hitam, yang tidak ternampak pada dirinya kesan-kesan tanda musafir dan tidak seorang pun di kalangan kami yang mengenalinya. Lalu dia duduk menghampiri Nabi SAW lalu disandarkan kedua-dua lututnya ke lutut Baginda dan meletakkan dua tapak tangannya atas dua paha Baginda seraya berkata: Wahai Muhammad! Terangkan kepadaku tentang Islam. Lalu Rasulullah SAW bersabda: Islam itu bahawa engkau naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad itu utusan Allah, (dan bahawa) engkau mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa dibulan Ramadhan, menunaikan haji ke Baitullah (mekah) sekiranya engkau berkuasa mengerjakannya. Lelaki tersebut berkata: Benarlah engkau. Maka kamipun merasa hairan kepadanya, dia yang bertanya dia pula yang membenarkannya. Dia bertanya: Terangkan kepadaku tentang Iman. Baginda bersabda: (Iman itu ialah) bahawa engkau percaya kepada Allah, para MalaikatNya, kitab-kitabNya, para RasulNya, hari Qiamat dan bahawa engkau percaya kepada Qadar baik dan buruk. Lelaki itu berkata: Benarlah engkau. Dia berkata lagi: Terangkanlah kepadaku tentang Ehsan. Baginda bersabda: Ehsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya. Sekiranya engkau tidak dapat melihatnya, maka sesungguhnya Dia melihatmu. Lelaki itu bertanya lagi: Terangkan kepadaku tentang Qiamat. Baginda bersabda: Orang yang ditanya tentang Qiamat tidaklah lebih mengetahui daripada orang yang bertanya. Lelaki itu berkata: Maka terangkanlah kepadaku tentang tanda-tandanya. Baginda bersabda: ( Antara tanda-tandanya adalah) apabila seorang hamba perempuan melahirkan tuannya dan apabila engkau melihat orang-orang miskin yang berkaki ayam, tidak berpakaian dan papa kedana yang hanya pengembala kambing berlumba-lumba membina bangunan (iaitu bertukar menjadi kaya-raya). Kemudian lelaki itu berlalu, lalu aku terdiam sebentar. Kemudian Baginda bertanya: Wahai ‘Umar! Adakah engkau tahu siapa lelaki yang bertanya itu? Aku berkata: Allah dan RasulNya lebih mengetahui. Baginda bersabda: Sesungguhnya dia adalah Malaikat Jibril yang datang kepada kamu untuk mengajar kamu tentang agama kamu."
Hadis riwayat al-Imam Muslim (Hadis riwayat Muslim, kitab al-Iman, no: 9 dan 10, al-Tirmizi, kitab al-iman, no:2535, beliau berkata: hadis ini hasan shahih, al-Nasaa’ie, kitab al-iman, no: 4904, 4905, Abu Dawud, kitab al-sunnah, n0:4075, Ibn Majah, kitab al-muqaddimah, no:62 dan 63, Ahmad, musnad ……… . no:346)
Hadis ini merupakan ibu kepada hadis-hadis yang lain. Kerana ianya mengandungi penjelasan Din (agama) secara keseluruhannya.
Terdapat beberapa tema didalam hadis ini iaitu Islam, Iman, Ehsan, Qiamat dan Din itu sendiri. Mari kita bina carta mengenai kelima-lima tema yang ada ini.
Daripada carta, dapat saya terangkan disini bahawa, tema hidup kita adalah membuat persediaan menuju hari akhirat. Oleh itu, apakah yang kita perlu untuk membuat persediaan ke hari akhirat itu? Ianya telah dinyatakan didalam hadis ini. Iaitu Din. Dimana Din merangkumi cara hidup, beribadat, syariat, akhlak, islam, iman dan ehsan. Untuk mempelajari Din(agama), kita wajib mengetahui apa itu Islam, Iman dan Ehsan. Kita tidak boleh hanya mengetahui Islam tetapi tidak mengamalkan Iman dan Ehsan. Kerana Din(agama) tidak akan sempurna tanpa ketiga-tiga itu tadi.
Belajar Din melalui fakuhu (faham tentang islam secara keseluruhan) dan bukan hanya fakihu (faham tentang ilmu fiqh (hukum-hukum))
Islam
Rukun islam adalah:
1) Naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad itu utusan Allah,
2) Mendirikan sembahyang,
3) Mengeluarkan zakat,
4) Berpuasa dibulan Ramadhan,
5) Menunaikan haji ke Baitullah (mekah) sekiranya engkau berkuasa mengerjakannya.
Didalam rukun islam, ia merangkumi amalan-amalan berbentuk ibadat badani (perbuatan).
Mereka yang mengamalkan kesemua rukun islam digelar muslim .
Iman
Rukun iman adalah:
1) Percaya kepada Allah,
2) Percaya pada para MalaikatNya,
3) Percaya pada kitab-kitabNya,
4) Percaya pada para RasulNya,
5) Percaya pada hari Qiamat
6) Percaya kepada Qadar baik dan buruk
Didalam rukun iman, ia merangkumi amalan ibadat berbentuk akidah dan kepercayaan dan meyakini didalam hati.
Mereka yang mengamalkan kesemua rukun islam digelar mukmin
Ehsan
Menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya. Sekiranya engkau tidak dapat melihatnya, maka sesungguhnya Dia melihatmu.
Mereka yang mengamalkan ehsan ini digelar muhsin.
Seseorang yang muslim tidak semestinya dia mukmin sekiranya die tidak mempercayai rukun iman. Begitu juga dengan muhsin sekiranya dia tidak mencapai tahap ehsan.
Kita perlu mempelajari islam, iman dan ehsan ini secara berperingkat. Iaitu dimulakan dengan islam, iman dan ehsan.
Cuba ingat sewaktu kita kecil, adakah ibu bapa kita mengajar rukun iman dahulu? Atau adakah kita diajar solat dan berpuasa dahulu? Sudah tentu kita diajar solat dan berpuasa (iaitu rukun islam) dahulu. Sama seperti hadis ini, ia memperkatakan tentang rukun islam dahulu, di ikuti dengan rukun iman dan kemudian baru ehsan. Begitu juga lah dengan Din yang kita pelajari. Apa agaknya reaksi anak-anak ataupun adik kecil sekiranya perkara pertama yang kita ajar adalah menyuruhnya mempercayai rukun iman?. Sudah tentu agak sukar bagi mereka kerana mereka masih mentah dan kecil. Mereka lebih mudah diajar tentang cara-cara solat, berpuasa dan sebagainya yang terdapat didalam rukun islam. Sesudah mereka biasa dengan amalan-amalan itu, barulah kita ,ajarkan rukun iman kepada mereka. Supaya keyakinan dan keimanan mereka didalam melakukan amal ibadat tadi semakin bertambah dan khusuk. Supaya mereka semakin tahu keindahan ibadat itu dengan kepercayaannya kepada rukun iman itu tadi.
Bukan sahaja kepada anak-anak kita, tetapi kepada mualaf (orang yang baru memeluk islam), ataupun kepada kawan india dan cina kita, sekiranya mereka berminat untuk mempelajari islam, kita boleh memperkenalkan islam melalui kaedah ini kepada mereka. Dengan mengajar rukun islam dahulu (syahadah, solat..) berakhlak mulia, di ikuti rukun iman dan ehsan.
Seorang naqibah saya di jepun pernah menceritakan, seorang mualaf jepun telah bercerita kepadanya, bahawa mualaf itu terasa agama islam sangat berat. Apabila ditanya mengapa oleh naqibah saya itu, si mualaf itu berkata bahawa, terdapat seorang muslim yang menyuruhnya mempelajari ilmu fiqh dan tentang hukum-hukum. Dia merasakan itu adalah berat baginya memandangkan dia baru memeluk islam. Oleh itu, sebagai seorang islam, wajarlah kita mengetahui bagaimana caranya untuk memperkenalkan islam kepada anak-anak kita, rakan-rakan non-muslim kita, mahupun kepada mereka yang baru memeluk islam.
Tanda seorang yang dipanggil muslim
1) Mengucap dua kalimah syahadah
2) Berakhlak mulia
Dimanakah kedudukan seseorang yang digelar mutakim?
Mutaqim= seorang yang bertaqwa.
Kedudukan mutaqim adalah diantara iman dan ehsan. Kerana seseorang yang telah muslim, dan beriman (mukmin) akan beribadah ketahap mutaqim dahulu, barulah kemudiannya sampai ketahap muhsin.
Pengajaran hadis
1. Bertanya tapi untuk memberi tahu, seperti yang dilakukan oleh malaikat. Ianya boleh diamalkan, dengan niat bukan untuk riak atau takbur, tetapi untuk mengajar.
2. Adab cikgu dengan pelajar. Dimana Rasulullah memainkan peranan guru, dan malaikat pula sebagai anak murid (mempunyai adab yang tinggi).
a. Anak murid duduk paling hampir dengan guru. (duduk paling depan)
b. Kemas (berbaju putih)
c. Wangi
3. Bersopan dalam bertanya.
4. Apabila kita ditanya sesuatu yang kita tidak pasti, jangan malu untuk mengaku yang kita tidak tahu. Seperti apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW. Sedangkan seorang Rasul juga mengakui perkara yang beliau tidak pasti, apakan lagi diri kita yang serba kekurangan ini. Jangan ditakut akan dipandang rendah oleh orang lain. Sewajibnya hanya mengajar atau menjawab soalan yang diketahui dan meninggalkan apa yang tidak diketahui. Itu adalah tanda wara’ para ulama dan orang berilmu.
Tanda Qiamat
Hari qiamat adalah peristiwa besar yang menjadi salah satu rukun Iman. Tiada seorang manusiapun yang tahu bila ia akan berlaku, walaupun Rasulullah SAW. Ia adalah sebahagian dari ilmu ghaib yang tidak diketahui kecuali oleh Allah SWT. Sesiapa yang mengaku tahu bila berlaku qiamat atau mengetahui ilmu ghaib, maka dia adalah seorang penipu besar.
Walaupun tarikh qiamat tidak diketahui, namun ada beberapa tanda yang menunjukkan ia hampir tiba, antaranya ialah seorang ibu melahirkan tuannya atau bossnya sendiri, yang menjadi hanba kepada anaknya. Diakhir zaman juga berlakunya peristiwa si-miskin yang papa merempat bertukar menjadi kaya raya. Pada pandangan saya, sebagai contoh dizaman ini, mungkin dengan cara loteri, skim cepat kaya atau sebagainya..wallahualam..
Beberapa contoh tanda-tanda kedatangan qiamat:
Alamat qubra: kemunculan Dajjal, imam Mahdi, turunnya Nabi Isa a.s.
Alamat sughro: seperti yang terdapat didalam hadis ini.
Wallahualam~

No comments:
Post a Comment